News & Articles Sistem e-Lelong boleh elak manipulasi harga

Sistem e-Lelong boleh elak manipulasi harga


27 Jul 2017
Sistem e-Lelong boleh elak manipulasi harga
KUANTAN - Pelaksanaan Sistem e-Lelong Bagi Kes-kes Lelong Awam Harta Tak Alih di Mahkamah Tinggi (e-Lelong) membolehkan pembida membuat bidaan tanpa tekanan dan dapat mengelak manipulasi harga.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif berkata, e-Lelong akan merahsiakan identiti pembida, yang dilihat berkeupayaan menggalakkan penambahan jumlah pembida yang akan menyertai sesi lelong awam secara dalam talian.

Sistem itu pertama di Malaysia bagi mengendalikan lelongan awam secara dalam talian mengikut waktu sebenar itu juga mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga, katanya.

KUANTAN - Pelaksanaan Sistem e-Lelong Bagi Kes-kes Lelong Awam Harta Tak Alih di Mahkamah Tinggi (e-Lelong) membolehkan pembida membuat bidaan tanpa tekanan dan dapat mengelak manipulasi harga.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif berkata, e-Lelong akan merahsiakan identiti pembida, yang dilihat berkeupayaan menggalakkan penambahan jumlah pembida yang akan menyertai sesi lelong awam secara dalam talian.

Sistem itu pertama di Malaysia bagi mengendalikan lelongan awam secara dalam talian mengikut waktu sebenar itu juga mampu meningkatkan peluang orang awam memiliki aset tetap khususnya rumah kediaman pada nilai sebenar tanpa manipulasi harga, katanya.

"Identiti pembida juga dirahsiakan untuk membolehkan pembida membuat bidaan tanpa tekanan dan gangguan serta meningkatkan ketelusan dan integriti proses lelongan awam selain memastikan tidak berlaku ketirisan maklumat," katanya.

Md Raus berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Perintis e-Lelong di Kompleks Mahkamah Kuantan di sini hari ini. Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop.

Menurut Md Raus, pembida yang berdaftar dengan e-Lelong juga boleh membuat bidaan di mana sahaja, asalkan mereka mempunyai akses internet termasuk menggunakan telefon pintar, yang akan menjimatkan wang dan masa pembida.

"Saya sedar ada pihak yang gusar dengan keupayaan dan keselamatan sistem e-Lelong untuk mengendalikan lelongan awam secara dalam talian dan memastikan proses berjalan lancar tanpa gangguan dan bebas daripada aktiviti jenayah siber.

Saya tegaskan bahawa e-Lelong dibangunkan dengan mengambil kira isu keselamatan teknologi maklumat berdasarkan garis panduan daripada pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)," katanya.

Md Raus juga optimis bahawa pembaharuan yang diketengahkan badan kehakiman itu akan memberi impak positif kepada mahkamah, orang awam selaku pembida, institusi kewangan selaku plaintif dan pemilik hartanah yang dilelong sebagai defendan.

Mengulas mengenai e-Lelong, Md Raus berkata cadangan untuk mewujudkan sistem itu dibentangkan pada 17 Mac lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang kemudiannya bersetuju ia dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata sistem itu kini dalam proses projek perintis di Pusat Operasi e-Lelong Kompleks Mahkamah Kuantan pada 1 Jun lalu dan proses bidaan pertama dijadual berlangsung pada 11 Ogos depan.

"Kita akan mendapatkan maklum balas daripada pihak yang terlibat termasuk pembida, sama ada mereka berpuas hati, adakah sistem ini telus dan tiada gangguan. Laporan akan dikemukakan kepada jemaah menteri pada September.

Sekiranya tiada masalah, sistem e-Lelong ini akan diperluaskan ke 14 lokasi Mahkamah Tinggi Malaya di seluruh Semenanjung Malaysia yang sekarang ini proses lelongan awam berjalan secara manual.

Proses manual ini melibatkan banyak pihak iaitu pegawai mahkamah, pembida, pelelong berlesen dan institusi kewangan. Prosesnya rumit dan mengambil masa yang lama. Tidak hairanlah ada rungutan dan pelbagai masalah timbul daripada proses manual ini," katanya.

Menurut Md Raus, walaupun berkemungkinan berlaku rungutan pada peringkat awal khususnya daripada mereka yang tidak mahir IT , namun beliau yakin mereka akan dapat menerima dan melihat kebaikan sistem itu selepas beberapa ketika.

Katanya, sistem itu membolehkan institusi kewangan memfailkan notis permohoan secara dalam talian manakala pegawai mahkamah akan menjana Perisytiharan Jualan secara dalam talian dan dikemukakan kepada institusi kewangan melalui e-mel.

Katanya, penggunaan sistem itu juga membolehkan institusi kewangan tidak lagi perlu risau akan kemungkinan berlaku kehilangan dokumen asal Suratan Hak Milik dan Pendua Gadaian. - Bernama

Source: Sinar

Latest Posts
  • Glomac’s 3Q net profit surges on higher property development revenue

  • Pameran hartanah MAPEX Selangor kembali bulan depan

  • Rehda Selangor to showcase properties at expo

  • 117烂尾项目69%是可负担屋

  • Projek rumah bawah RM300,000 paling banyak terbengkalai